Friday, April 16, 2010

Pembalakan di Wilayah Tanah Adat Kg. OA Pos Bersih dan Gesau Ulu Slim Perak


PENGENALAN:
Kampung Pos Bersih dan Gesau di Ulu Slim Slim River adalah perkampungan yang di diami oleh masyarakat Orang Asli suku Semai. ianya hanya terletak kira-kira 1 kilo meter dari perkampungan Orang Melayu Ulu Slim.

menurut orang-orang dewasa ke dua kampung ini, perkampungan mereka ini telah wujud sejak beratus-ratus tahun. ke dua kampung ini bersempadanan wilayah Tanah Adat yang telah ditadbir dan dilindungi masing-masing dengan penuh hormat oleh kedua belah pihak. Namun masa telah banyak merubah keadaan , apabila sebahagian dari wilayah adat mereka diambil untuk menjadi perkampungan Melayu, kawasan pelancongan, ladang-ladang sawit milik anak syarikat RISDA dan juga kawasan pengambilan pasir haram dan pembalakan.

Akibat dari pencerobohan ini kedua kampung terpaksa menghadapi pelbagai tekanan dan keperitan hidup. mereka bukan saja kehilangan wilayah tanah adat , sejarah, tanaman dan sumber semulajadi tetapi bakal hidup tersepit dan terhimpit kerana terkepung dengan segala projek mega milik orang lain.

Sekarang hutan wilayah Tanah Adat sekeliling sedang dimusnah dengan rakus oleh pembalak-pembalak dari anak syarikat RISDA. Tidak cukup dengan itu penduduk kampung telah difitnah oleh pembalak kononnya mereka merosakan jentera pembalakan. penduduk kampung telah didatangi polis dan disoal siasat dan beberapa kali juga penduduk cuba membuat laporan atas tuduhan ini namun pihak balai polis pula tidak mahu menerima aduan mereka.

Masih segar dalam ingatan penduduk kampung: Pada April 2009 Sultan Perak dengan seluruh agensi kerajaan telah membuat lawatan ke Kampung Pos Bersih dan Kampung Gesau. Pada lawatan tersebut Sultan Azlan Shah dan Menteri Besar BN iaitu Datuk Zamri Abdul Kadir sendiri telah menegaskan bahawa "Wilayah Tanah Adat Orang Asli akan dilindungi." Namun apa yang sedang dialami oleh kedua buah kampung ini sekarang adalah bertentangan dengan apa yang pernah ditegaskan oleh mereka. kini penduduk ke dua kampung bagai hilang arah, jeritan mereka tidak sampai mana-mana dan tidak dipedulikan. mereka sedang lemas mencari keadilan...setiap kali hujan mereka terpaksa minum dan mandi air susu pekat.

Tok Batin kampung Gesau memberi tahu kami bahawa tanah yang di ceroboh dan di balak sekarang adalah tanah adat mereka, di mana tanaman lama seperti pokok-pokok petai, durian dan sebagainya terdapat di kawasan tersebut. yang paling menyedihkan kami adalah kubur-kubur lama iaitu kubur nenek moyang mereka yang ada di kawasan tanah adat tersebut juga turut di musnahkan oleh pihak pembalak. sekarang kami dituduh merosakan jentera balak dan bila buat aduan pada polis, polis pula tak terima....siapa boleh menjawab perkara ini...?

tujuan blog


Tujuan blog ini dibuka adalah untuk berkongsi berita berkenaan perkembangan semasa masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia. sebagaimana yang semua sedia maklum banyak kesusahan dan keperitan hidup yang menimpa Orang Asli di setiap pelusuk negara ini tidak diketahui umum. Berita-berita yang sering keluar di dada akhbar terutamanya media arus perdana hanya memaparkan cerita gembira dan kemajuan masyarakat Orang Asli. Harus dijelaskan tujuan perkongsian ini bukan menafikan perkara yang baik yang pernah disumbangkan kepada Orang Asli tetapi tidak adil jika itu digunakan sebagai alasan menyembunyikan kepincangan dalam pentadbiran dan perhatian yang dibuat keatas Orang Asli sehingga akibatkan kesusahan dan keperitan terhadap nasib Orang Asli sehingga pada hari ini. sudah sampai masanya semua cerita harus dipaparkan semoga dengan ini semua pihak samada Orang Asli sendiri, kerajaan dan rakyat Malaysia umumnya tahu apa yang sedang dihadapi oleh Orang Asli selaku Orang Asal negera ini yang sering dilaungkan sebagai anak emas kerana mendapat peruntuk kerajaan berjuta-juta ringgit. semoga dengan paparan cerita-cerita yang dikongsikan akan insafkan kita semua atas kesilapan, kepincangan, kegagalan dan dosa yang kita buat. selain itu tuntutan yang merupakan harapan kepada perkongsian ini adalah kebangkitan bersama untuk mencari jalan penyelesaian dan selesai isu-isu ini. oleh itu saya mengalu-alukan rakan-rakan seperjuangan membantu saya dengan menyumbang cerita-cerita, kejadian dan sebagainya yang menimpa dan sedang dialami mana Orang Asli untuk dihantar kepada saya melalui email saya supaya dapat kita paparkan dalam blog ini.

terima kasih: Salam Damai dan Kasih.
H.T